Pertandingan Memikat Tekukur
>> Sunday, October 25, 2009
SUNGAI LEKUK – Lebih 60 ahli Tekukur.10.Forumer (TTF) seluruh negara berhimpun di sini bagi menjayakan trip memikat burung tekukur dalam usaha mengembangkan dan memelihara seni warisan itu.
Penyelaras aktiviti, Ramli Rosdi berkata, aktiviti tahunan itu menghimpunkan ahli seluruh negara tanpa mengira kaum, dalam usaha mengeratkan lagi hubungan dan semangat muhibah sesama ahli.
“Aktiviti ini selain menghiburkan, ia juga adalah satu daripada kaedah kelab untuk menjaga ekosistem dan biodiversiti yang ada, supaya tekukur dan kesenian yang ada pada aktiviti memikatnya dapat diketahui generasi muda kini.
“Aktiviti ini akan bermula seawal pagi. Ahli akan dilepaskan ke kawasan masing-masing untuk berusaha memikat dan mendapatkan burung tekukur dengan kaedah tradisional menggunakan racik dan jebak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Ramli berkata, jumlah tangkapan terbanyak akan diiktiraf sebagai pemenang, namun tekukur yang diperoleh juga akan dilepaskan semula untuk membolehkan ia berkembang biak dengan baik.
Menurutnya, selain menjalankan aktiviti berkenan, ahli terlibat juga turut dinilai berdasarkan keunikan bekas catuk atau bekas simpanan burung tekukur yang dijadikan denak.
“Pelbagai aktiviti menarik kalangan ahli kelab dilakukan dan diketengahkan, antaranya kesenian catuk, seni atau cara memikat burung dan banyak lagi.
“Ini adalah kaedah terbaik memelihara warisan seni memikat tekukur dan dapat menunjukkan kepada masyarakat bahawa aktiviti ini bermanfaat ke arah meluaskan lagi budaya dan seni warisan tradisional ini,” katanya.
Katanya, aktiviti tahunan itu memilih setiap lokasi di negeri berbeza supaya ahli dapat ditambah lebih ramai dan lebih penting, kesenian dalam aktiviti memikat burung itu dapat dikembangkan.
0 comments:
Post a Comment